newww

Saturday, May 15, 2010

cerpen siri ke-10 ~siapa mereka pada aku?~

“Please, Iqbal. “Itulah pertama kali aku merayu kepada lelaki itu.

“Ok, tapi dengan syarat,” ujarnya diekori dengan senyuman yang menjengkelkan.

“ Bodohnya kau Maya!” Sepanjang perjalananku ke dewan Kenanga dipenuhi dengan caci-maki. Memang layaknya pun diriku menerima herdikan atas kebodohanku. Mudah sungguh aku mengeluarkan kata setuju. Ke mana hilangnya ego kau Maya? Takkan begitu mudah tembok yang kau bina runtuh? Aku seoarang perempuan tetapi aku tidak mahu menjadi wanita yang sering tewas dek keindahan kota cinta yang diselimuti kata-kata pujangga yang beralaskan kedustaan semata-mata.

“Maya! Nanti dulu!” laungannya membuatkan puluhan pasang mata beralih ke arahku. Aku menjadi segan dalam keadaan begitu. Kenapalah manusia ni tak pernah serik untuk membuat aku gusar? Kadang-kala kegusaran itu sendiri berubah menjadi suatu perasaan yang menggila.

“Apa lagi, Encik Iqbal Dato’ Rahimi?” Amarahku menghempas benteng kesabaranku terhadap jejaka itu. Tidak seperti aku berhadapan dengan Haikal, aku tidak mampu mengolah emosiku buat Iqbal. Ketenangan lautan jiwaku sering diterpa badai emosi yang menggulung tinggi.

“Saudari, gadis manis macam awak ni tak baik marah-marah. Susah nanti. Lagi marah, lagi ramai sang arjuna yang merindu,” Iqbal cuba bersenda sambil matanya melirik tajam ke arahku bersulam senyuman nakalnya itu. Saat itu, kedengaran lagu ‘Betterman’, nyanyian Robbie William beralun merdu mengikut melodi. Tapi, irama itu seperti mesra di cuping telingaku.

“Maya, your phone…” Mungkin lama menanti respon dariku, Iqbal terlebih dahulu menjawab panggilan tersebut. Kadang-kala, sengal juga aku ni. Sampaikan telefon bimbit sendiri berbunyi pun tak sedar. Terang-terang depan mata pula tu. Aduhai.

“Siapa yang telefon?” soalku tatkala tanganku pantas merentap telefon itu daripada Iqbal apabila talian diputuskan. “Pandai-pandai je you jawab panggilan tu. Don’t you know how to respect someone else personal matters? Please, don’t make me hate you. Please…”

Ouch! Looks like someone is blowing,” masih ada nada gurauan dalam kata-katanya. Dia ni faham atau tak? Ada sensitiviti ke tak ada? Masih lagi nak bergurau.”Such a nuisance guy!”

“You cakap apa Maya? Maaf, kurang jelas,” soal Haikal dalam keraguan. Masih menantikan jawapan dariku, dia kekal statik dengan tangannya yang menongkat dagu. Aku hanya tersenyum melihat keletahnya yang mengusik hati. “Erm, tak ada apa. I cakap, you ni kelakar.” Kali ini, gilirannya pula menguntumkan senyuman. Bicara kami tidak berpanjangan. Cuma terhenti di situ sahaja apabila Haikal menumpukan semula perhatiannya pada kuliah dan aku pula sedaya-upaya mengusir cebis-cebis ingatanku pada peristiwa yang berlaku antara aku dan Iqbal tempoh hari.

Setelah kuliah tamat, aku mengatur langkah pulang ke kamar untuk melepaskan lelah. Fikiranku seolah-olah memberi isyarat agar diisi dengan ketenangan yang sudah jarang bertamu. Keinginanku untuk cepat sampai melonjak-lonjak apabila aku terpandang akan sesusuk tubuh yang tak mungkin salah dugaanku. Ya! Dia Iqbal. “Ya Allah, Engkau kaburkanlah pandangannya daripada melihatku”. Langkahku kini kian bertambah kelajuannya diiringi dengan rasa berdebar yang bersarang di pundak hatiku. Degupan jantungku semakin kuat. Rasa berdebar di hati makin rancak iramanya. Kalau tadi, iramanya keroncong, kini sudah beralih ke rentak pop pula. “Ah, sudah! Kenapa pula ni? Sudah macam pentas ‘Muzik-muzik’ pula. Kalau macam ni lah rentaknya, menang tanpa bertanding lah jawabnya.”

Bunyi derap tapak kaki yang semakin dekat menggelisahkanku. Takut. Cemas. Itulah perasaan aku ketika itu. Tatkala aku masih dalam andaian aku sendiri bersama perasaan yang tak menentu itu, terasa seperti bahuku disentuh oleh seseorang. “Tidak! Bukan Haikal. Bukan…”

cerpen siri ke9~ siapa mereka pada aku?~

Iqbal, I’m so sorry. I got to go now,” dengan segera aku memasukkan buku-buku ilmiahku ke dalam beg.

“Eee…cantiknya! Nak tak?” Memori setahun lalu menyingkap kenanganku bersama Intan. Biar hujan membasahi bumi, badai melanda menghempas pantai mahupun taufan hadir tanpa amaran, sayangku pada Intan takkan berkurang.

“Ish, mana la mak cik ni! Kalau tak lambat tak boleh. Mandi pun lambat. Nak bersiap lagilah lambat.Itupun, lepas berpuluh kali aku mendail nombornya, baru nak dijawab, masa tu lah pun baru nak bangun. Kalau tau, baik keluar lambat tadi. Tak adalah bermandi peluh aku kat sini! Dah rupa orang baru balik dari sawah je dah,” mulutku tak henti-henti membebel. Panas hati punya pasal, telingaku juga yang menjadi mangsa mendengar bebelan sendiri. Cukup dua jam hatiku mendidih marah, dia pun sampai. Belum lagi sempat aku bersuara, dia terlebih dahulu menguntumkan senyuman. Senyuman itu bagaikan percikkan air di kali yang menyejukkan gelodak hati yang sedang panas tadi.

“Hai. Lama dah tunggu?” soalnya seperti kebiasaannya.

“Tak lama pun.Biasalah kalau menunggu sejam dua tu kan? Perkara biasalah. Ada juga berteman”.

“Eh, ada orang teman? Siapa?” soalnya balik.

“Ala, sang mentari yang terik memancar.Ganjaran dia pun lumayan. Peluh. Ada muzik latar lagi,”tingkahku sambil mulut menjuih ke arah kenderaan aliran ringan(LRT) yang sedang meluncur laju. Itulah aku. Sekadar marah dalam kiasan. Marah macam mana sekalipun, aku akan tenang setelah Intan ada di hadapanku. Tidak sanggup untuk memarahi apatah lagi menyakitinya. “Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah atas ehsan Mu yang mengizinkan aku meneguk secangkir bahagia yang mekar di ranting persahabatan ini”.

“Nak pergi ke tak? Nanti lambat pula.” Pintu kereta dibuka lalu dia memboloskan dirinya ke dalam. Aku turut melakukan yang sama. Sebaik sahaja melangkahkan kaki ke dalam pusat membeli-belah Midvalley, kedua-dua kami menghembuskan nafas lega. Bahang mentari yang memancar terik di luar beransur hilang pabila kesejukan penghawa dingin menyapa lembut tubuh kami penuh mesra. ‘Jualan murah akhir tahun’. Itulah yang paling dinanti-nantikan oleh semua penggemar membeli-belah terutama perempuan tanpa mengira golongan.

“Wow! Absolutely perfect to be match with my new top. I’ll take that!” responku yang begitu teruja menyenangkan Intan. Sekali lagi, senyuman yang terukir di wajahnya membawaku melewati denai-denai bahagia. Beg galas berona biru itu kucapai lantas terus berlalu pergi tanpa berpaling kepada Iqbal setelah tersedar lamunanku sudah jauh dari nyata.

No! you can’t Maya!” protes Iqbal. Aku terkesima. Neuron-neuronku terus berhenti melakukan pergerakan. Reseptor-reseptor panas di bawah lapisan kulitku mula mengesan kenaikan suhu di sekeliling. Manik-manik jernih deras mengalir membasahi tubuhku ibarat air di kali tetapi terasa hangat, tidak pula dingin.

cerpen siri ke-8 ~ siapa mereka pada aku~

Begitulah manusia pabila tutur lidah yang menjadi senjata. Jiwa seolah-olah tidak ada peranannya lagi. Rimba hati jadi kontang bagai Kalahari. Apakah kerana dunia yang kian moden menjadi punca? Punca hati manusia terpasung ibarat konkrit yang gagah menggapai awan biru? Sehingga lupa untuk berpijak pada dasar kehidupan yang takkan pernah lari dari bayangan perasaan?

“Kau silap Haikal,” tuturku separa berbisik. Senyuman hambar yang terukir terus bernokhtah tatkala pandangan mataku tertangkap pada pandangan mata Haikal yang redup. Sepasang mata yang sedari tadi memerhatikanku sehinggakan aku menjadi kaget. “Apakah dia mendengar bicaraku sebentar tadi?”

“Ya, Maya. Mungkin aku silap. Aku manusia yang tak punya perasaan, kalau itu yang mahu kau katakan,” ada nada marah pada kata-kata Haikal itu. “Nah! Jawapan kepada persoalanku tadi.” Walaupun tutur katanya penuh dengan kelembutan tetapi aku masak dengan sikapnya. Renungan matanya cukup untuk membuat aku mengerti gelodak amarah yang melanda jiwanya. Arghh! Aku benci sekali untuk berhadapan saat-saat begini. Sukarnya untuk seorang hamba yang lemah seperti aku untuk menjaga hati semua yang berada di sekelilingku. Aku bukan sempurna. Untuk melihat raut wajah Haikal, aku tidak sanggup. Rasa bersalah menyusup ke juring hati.

“Ha…Ha…Haikal,” namanya meniti di bibirku. Lantas, kepalanya yang hanya tunduk dari tadi didongakkan sedikit seraya memandang ke arahku. Tiba-tiba sahaja mataku terasa gatal dan perit. Pada masa yang sama ada rasa yang memberat di dada. Arakian, keresahan menusuk kalbu. Ada getir yang tak mampu kuucapkan.

“Hai Maya,”suara garau Iqbal membelah kesunyian antara aku dan Haikal. Aku menarik nafas lega kerana akhirnya, suasana tegang itu terhenti jua. Walaupun aku tidak senang dengan kahadiran Iqbal, namun aku bersyukur kerana dia hadir pada waktu yang tepat. Sapaan Iqbal tadi kubalas dengan segarit senyuman yang jelas membuatkan bunga-bunga sakura menguntum mekar di jiwa Iqbal. Masakan tidaknya, tak pernah-pernah aku senyum padanya. Hipokrit!

“Erm, aku pergi dulu ya Maya. Ada sesi uji bakat sebentar nanti,” Haikal meminta diri tanpa berlengah. Mungkin dia tidak senang dengan kewujudan Iqbal yang sememangnya sudah lama dibencinya.

“Uji bakat?” soal hati kecilku.

“Ya Allah! Teater!” Baru aku tersedar yang bahawa sesi uji bakat untuk memilih pelakon bagi watak-watak dalam pementasan “Kala Malam Hembusan Angin Bertiup” akan diadakan. Bagaimana aku boleh lupa sedangkan aku sendiri yang terlibat?

lorong itu tidak gelap


Mereka hina,

Tapi bukan untuk dinilai,

cacian, makian itu yang perlu ditafsir,

hamburan kebiadaban tanpa limitasi,

tutur bertulangkan jiwa kontang,

renungan bersendikan kasih yang tandus,

refleksi lumrah manusia, pada manusia?

seperti kita,

mereka juga dambakan kehidupan,

bukannya penghidupan,

hari ini pada mereka adalah takdir,

semalam itu nasib,

esoknya adalah ketentuan,

sinar pagi yang mengerdip,

hening malam yang mendingin,

tak langsung berbeza pada mereka,

seringkali,

jiwa yang pedih itu,

diricip berkali-kali,

walau merintih sekalipun,

takkan ada yang peduli,

kononnya, mereka menagih simpati,

mereka aktor jalanan,

mereka kudis bangsa,

mereka simbol kenistaan,

itu kata manusia, pada manusia?

Mahukah kita dengan rela,

Mengabdikan diri di lorong­-lorong itu?

Cuba tanya pada mereka yang hina itu,

Mahukah mereka?

Gembirakah mereka di situ?

Takkan ada jawabnya pada persoalan itu,

Andai tiap jawapan dipersenda,

Aksara demi aksara mencipta kata,

Menghiasi kalam bahasa,

Rapuh di ranting ihsan,

Tawaan, nilai cagaran simpati mereka,

Begini laku manusia, pada manusia?

Usah lagi kita angkuh pada diri,

Usah lagi kita bebatkan rasa kasihan,

Usah lagi kita kejapkan simpati,

Usah terus mendongak ke langit,

Kerna, masih ada lantai bumi,

Gersang di batas budi,

Tandus di lapangan keinsafan.