Begitulah manusia pabila tutur lidah yang menjadi senjata. Jiwa seolah-olah tidak ada peranannya lagi. Rimba hati jadi kontang bagai Kalahari. Apakah kerana dunia yang kian moden menjadi punca? Punca hati manusia terpasung ibarat konkrit yang gagah menggapai awan biru? Sehingga lupa untuk berpijak pada dasar kehidupan yang takkan pernah lari dari bayangan perasaan?
“Kau silap Haikal,” tuturku separa berbisik. Senyuman hambar yang terukir terus bernokhtah tatkala pandangan mataku tertangkap pada pandangan mata Haikal yang redup. Sepasang mata yang sedari tadi memerhatikanku sehinggakan aku menjadi kaget. “Apakah dia mendengar bicaraku sebentar tadi?”
“Ya, Maya. Mungkin aku silap. Aku manusia yang tak punya perasaan, kalau itu yang mahu kau katakan,” ada nada marah pada kata-kata Haikal itu. “Nah! Jawapan kepada persoalanku tadi.” Walaupun tutur katanya penuh dengan kelembutan tetapi aku masak dengan sikapnya. Renungan matanya cukup untuk membuat aku mengerti gelodak amarah yang melanda jiwanya. Arghh! Aku benci sekali untuk berhadapan saat-saat begini. Sukarnya untuk seorang hamba yang lemah seperti aku untuk menjaga hati semua yang berada di sekelilingku. Aku bukan sempurna. Untuk melihat raut wajah Haikal, aku tidak sanggup. Rasa bersalah menyusup ke juring hati.
“Ha…Ha…Haikal,” namanya meniti di bibirku. Lantas, kepalanya yang hanya tunduk dari tadi didongakkan sedikit seraya memandang ke arahku. Tiba-tiba sahaja mataku terasa gatal dan perit. Pada masa yang sama ada rasa yang memberat di dada. Arakian, keresahan menusuk kalbu. Ada getir yang tak mampu kuucapkan.
“Hai Maya,”suara garau Iqbal membelah kesunyian antara aku dan Haikal. Aku menarik nafas lega kerana akhirnya, suasana tegang itu terhenti jua. Walaupun aku tidak senang dengan kahadiran Iqbal, namun aku bersyukur kerana dia hadir pada waktu yang tepat. Sapaan Iqbal tadi kubalas dengan segarit senyuman yang jelas membuatkan bunga-bunga sakura menguntum mekar di jiwa Iqbal. Masakan tidaknya, tak pernah-pernah aku senyum padanya. Hipokrit!
“Erm, aku pergi dulu ya Maya. Ada sesi uji bakat sebentar nanti,” Haikal meminta diri tanpa berlengah. Mungkin dia tidak senang dengan kewujudan Iqbal yang sememangnya sudah lama dibencinya.
“Uji bakat?” soal hati kecilku.
“Ya Allah! Teater!” Baru aku tersedar yang bahawa sesi uji bakat untuk memilih pelakon bagi watak-watak dalam pementasan “Kala Malam Hembusan Angin Bertiup” akan diadakan. Bagaimana aku boleh lupa sedangkan aku sendiri yang terlibat?
No comments:
Post a Comment