P |
agi itu, Naziha merasakan badannya amat lemah sekali. Tak mampu dirasakan untuknya mengerakkan jari-jemarinya apatah lagi untuk bangun dari tidur. Kepalanya rasa berat sekali seperti ada sesuatu yang menimpa di atas dahinya.
“Ziha, bangun. Dah lambat nak gi sekolah ni,” kejut Puan Kartini, ibu kepada Naziha.
“Tini! Oh, Tini! Anak kamu ni tak sihat. Macam mana dia nak ke sekolahnya Tini?” Kali ini, giliran Nek Lijah bersuara lantang. Nek Lijah memang selalu akan menangkan Ziha dalam apa-apa hal sekalipun. Kasih sayang seorang nenek terhadap cucu, memang begitu. Menangkan cucu, anak sendiri pun dimarahinya.
“Betul ke mak? Dah periksa betul-betul dah?” soal Puan Kartini pula.
“Tak ada teruk mananya budak tu. Kejutkan je cepat! Hari ni dah hari terakhir sekolah. Sayang kalau ponteng. Esok dah cuti,” kedengaran suara Tuan Husni membentak keras. Tak sanggup untuk dimarahi oleh ayahnya, Naziha bingkas bangun untuk bersiap ke sekolah dalam keadaan terpaksa.
Tuan Husni memang seoarang ketua keluarga yang tegas serta berdisiplin. Segala arahan mahupun kata-katanya jangan dibantah. Jika tidak, tahu sahajalah bagaimana anginnya akan berpusing. Silap-silap ada sahaja barang kaca yang berkecai. Setelah siap, Naziha menggalas beg sekolahnya lalu membontoti ayahnya untuk ke sekolah. Langkahnya begitu longlai disertai pula dengan wajahnya yang agak pucat. Namun, dia harus akur serta hormat pada ayahnya. Kalaulah abangnya yang menghantarnya ke sekolah, pasti dia sudah terbaring semula di atas katilnya yang empuk bersama bantal busuk serta anak patung kesayangannya.
“Pini! Pini!” Laung Ziha memanggil sahabatnya setelah sampai di hadapan rumahnya. Tuan Husni tidak menunggu Ziha sebaliknya terus menuju ke lombong bersama rakan sekerjanya yang lain. Memang itulah kebiasaan mereka pada hari-hari bersekolah. Tidak lama kemudian, Pini keluar bersama bekal di tangan.
“Bekal mende pula hari ni?” Tanya Ziha sambil menguih-nguih plastik yang mengisi bekal tersebut.
“Mi goreng,” jawab Pini seraya mencuit hidung temannya.
“Nak sikit!” Ziha meraih simpati Pini dengan bibirnya yang dijuihkan sedikit. Namun, Pini sengaja membuat tak endah sahaja.
“Boleh la. Boleh la. Nak sikit. Ya?” dipujuknya lagi temannya itu.
“Iyalah, nanti kita kongsi. Makan sama-sama. Nak?” jawab Pini.
“Yeay! Pini baik! Pini baik! Sayang Pini.”
Kedua-dua anak itu berjalan menuju ke sekolah sambil bergurau- senda antara satu sama lain. Itulah kegembiraan yang dapat dinikmati oleh anak-anak kecil seperti mereka. Usia mereka yang baru lapan tahun tidak memerlukan mereka untuk memikirkan masalah-masalah di sekeliling.
“Moh beli air tembikai nak?” Ziha mencadangkan kepada Pini semasa waktu rehat.
“Nak!” Pini menjerit tanda setuju. Ketika Pini mengeluarkan syiling daripada dompetnya, Ziha terus merentap syiling tersebut.
“Kan dah jatuh! Lain kali janganlah rebut,” marah Pini kepada Ziha. Dia kemudiannya merangkak ke bawah di sebalik celah murid-murid yang lain untuk mencari syiling yang jatuh tadi. Namun, saat itu tiba-tiba sahaja terdengar satu bunyi yang amat kuat.
“Pini!” jerit Ziha sebelum dia juga tidak sedarkan diri. Hampir seminggu Ziha dimasukkan ke wad di Hospital Kampar. Dia kemudiannya dibawa balik ke rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi telahpun stabil.
“Pini! Pini!” Ziha menjerit-jerit memanggil nama sahabatnya Pini sebaik sahaja dia sedarkan diri.
“Ziha, anak mama dah sedar?” Puan Kartini tersenyum melihat puterinya telah sedar.
“Pini mana mama?” Persoalan Ziha itu dibiarkan tidak berjawab. Sengaja. Seluruh keluarga tidak sanggup untuk memberitahu kenyataan bahawa sahabat baiknya itu telah tiada lagi.
“Nak makan bubur? Mama suapkan ya, sayang?”
“Tak nak! Ziha nak Pini! Ziha nak Pini juga!” jerit Ziha secara tiba-tiba. Air mata sayu seorang ibu mengalir perlahan membasahi pipi. Tak sanggup melihat anaknya dalam keadaan begitu. Puan Kartini tersentak tatkala kedengaran suara orang-orang kampung bising di hadapan rumah.
“Mana Husni? Aku nak jumpa dia!
“Pulangkan anak-anak kami! Kenapa anak kami yang menjadi mangsa?”
“Husni! Aku nak kau tanggung semua ni. Kalau bukan kerana kau yang luluskan projek tu, ini semua takkan terjadi. Anak aku, Syafini takkan pergi!” Bentak Pak Jali,ayah kepada Pini. Tidak lama kemudian, pintu rumah Tuan Husni terbuka.
“Kamu nak aku buat apa? Perkara dah nak jadi. Bukan kuasa aku nak halang semua itu! Cubalah bawa berucap sikit. Tak ingat ke Tuhan ke kamu semua ni? Dah tak ada agama?” usai bercakap, pintu rumah terus ditutup rapat.
Ketika mendengar perkara itu, Ziha terus teringat akan peristiwa semasa dia berebut syiling dengan Pini di kantin sekolah. Pini, maafkan Ziha. Hati kecilnya berbisik. Perasan bersalah mula bertunjang ke segenap hatinya. Ziha merasakan dialah yang menjadi punca kematian Pini. Selepas daripada peristiwa tanah runtuh di kawasan perlombongan Kampung Changkat, Kampar itu, ayah Ziha telah meletak jawatan atas desakan orang-orang kampung yang sekeras-kerasnya menyalahkan Tuan Husni. Selain daripada kawasan lombong yang terjejas, Sekolah Rendah Kuala Dipang yang terletak bersebelahan turut terjejas teruk.
Kehidupan keluarga Tuan Husni menjadi kacau-bilau dan tidak tenteram. Setiap hari, ada sahaja perbalahan di antara mereka. Saban hari, keluarga mereka memerima cemuhan yang semakin teruk menyebabkan Tuan Husni mengalami tekanan yang teramat sangat. Silap sedikit sahaja, pasti beliau akan mengamuk satu rumah.
“Kamu nak ke mana Najmi?” Tuan Husni bertanya kepada anak sulungnya.
“Papa peduli apa Mi nak ke mana? Duduk di rumah ni pun buat serabut otak sahaja!” Tak pernah langsung sebelum ini, anak-anaknya melawan apatah lagi meninggikan suara kepadanya.
“Prang!” Hinggap satu tamparan di muka Najmi. Anak muda itu tidak bersuara langsung sebaliknya terus melangkah keluar dari rumah.
“Abang! Abang Husni!” Puan Kartini menampar-nampar pipi suaminya yang berada di ribaannya.
Nek Lijah yang melihat situasi itu dari jauh, terus mendail talian kecemasan hospital. Dalam keadaan tergopoh-gapah, Nek Lijah menuju ke arah Tuan Husni dan Puan Kartini. Tanpa disedari, kakinya tersadung kaki meja hiasan lalu rebah tidak sedarkan diri. Sudah jatuh, ditimpa tangga, malam itu dua pengkebumian dilakukan serentak. Tinggallah Puan Kartini dan Ziha berdua di rumah itu. Kepedihan yang dialami akibat kehilangan sahabat tersayang, dinanarkan lagi dengan pemergian nenek serta ayah yang dikasihi. Sejak daripada itu, Ziha bukan lagi seorang kanak-kanak yang periang serta lincah. Dia membesar dalam kemurungan walaupun setelah berpindah ke pekan lain.
“Pini nak main masak-masak dengan Ziha?” Kadangkala, dia akan bercakap seorang diri. Dia merasakan seolah-olah Pini masih lagi ada bersamanya. Impak daripada kehilangan orang yang tersayang amat besar padanya sebagai seorang anak kecil yang tidak mengerti lagi makna kehidupan.
“Sayang! Mari makan dengan mama. Hari ni mama masak ayam kicap yang Ziha suka tu,” Puan Kartini memanggil anaknya makan. Untuk menjaga Ziha, Puan Kartini terpaksa kuatkan dirinya sendiri. Jika tidak, pada siapa Ziha hendak bergantung hidup?
“Mama, boleh Pini makan dengan kita?” pinta anak kecil itu. Sayu hati Puan Kartini pabila melihat puterinya hidup dalam fantasi yang diciptanya sendiri.
“Boleh sayang.” Terpaksa diturutkan kemahuan anak itu. Jika tidak, rajuknya sukar dipujuk. Kadangkala sampai berhari-hari.
Tak tertahan rasanya jiwa Puan Kartini apabila orang-orang sekeliling memanggil anaknya mental. Rasa bagai dicarik-carik dengan bilah buluh pedihnya. Kehidupan mereka tidak bercampur dengan orang. Daripada terpaksa mendengar cemuhan orang, lebih baik baginya membuat hal sendiri. Namun, antara yang bersifat pesimis itu masih wujud mereka yang baik hati. Tanpa berat hati menghulurkan bantuan ketika diperlukan.
“Nasib baiklah masih ada yang prihatinkan, Mak Yam? Berapa umur Ziha sekarang ni?” Hajar bertanya penuh tanda tanya.
“Masa kejadian tanah runtuh tu berlaku pada tahun 1960, umurnya baru lapan tahun. Hah, kamu kiralah sendiri. Sekarang ni dah tahun 2010.”
“ Sekarang ni, Ziha tinggal bersama siapa?” Tanya Hajar ingin tahu lagi.
“Kamu tahu, pondok usang di hujung kampung tu?” Tanya Mak Yam pula. Hajar cuma mengangguk.
“Di situlah dia tinggal seorang diri sekarang.”
No comments:
Post a Comment